ALL ABOUT MY JOURNEY IN PARENTING, BREASTFEEDING AND RAISING UP MY BELOVED KIDS

Followers

I am a Malaysian Breastfeeding Peer Counselor

I am a Malaysian Breastfeeding Peer Counselor
kindly contact me at hanaseman@yahoo.com

Wednesday, August 3, 2011

Artikel myMetro: Tulis label Berdasarkan nama anak, tarikh simpan


PENYUSUAN susu ibu kadangkala dianggap mustahil bagi ibu berkerjaya di Malaysia. Namun, kesedaran mengenai pentingnya penyusuan susu ibu semakin meningkat lalu mencetuskan beberapa usaha daripada pihak hospital dan kumpulan sokongan susu ibu untuk menyebarkan maklumat mengenai pentingnya penyusuan susu ibu.

Walaupun kini terdapat pelbagai usaha daripada pihak hospital atau kerajaan, usaha ini tidak akan berhasil sekiranya ibu sendiri tidak berkemampuan memberikan susu kepada bayi mereka. Antara usaha ke arah penyusuan susu ibu adalah menggalakkan ibu memerah susu dan menyimpan stok susu ibu untuk diberikan kepada bayi ketika ibu berpisah sementara (keluar bekerja). 
Menurut Kaunselor Laktasi Sarakids.com, Nor Farah Farhan Abdul Fatah, ibu sudah boleh mula memerah susu dua minggu selepas kelahiran bayi. Sewaktu berpantang, bayi hanya disusukan secara terus dan susu yang diperah (sama ada menggunakan pam atau memerah menggunakan tangan) haruslah disimpan untuk kegunaan apabila ibu kembali bekerja.

Pam susu tiga jam sekali apabila bayi tidur. Jika bayi terjaga, ibu hendaklah mendahulukan bayi terlebih dulu dan menyambung kembali proses memerah selepas bayi disusukan dan kembali tidur. Susu yang sudah dipam perlu disimpan dalam botol atau beg khas untuk penyimpanan susu ibu. Tulis label berdasarkan nama anak dan tarikh penyimpanan susu ibu.



“Bagi yang bekerja, mulakan mengepam susu pada waktu pagi kemudian simpan di dalam peti sejuk atau beg sejuk beku berisi ais yang tahan 12 jam. Kemudian teruskan mengepam pada waktu tengah hari dan petang. Apabila sampai di rumah pastikan ibu menyimpan sebotol susu di peti sejuk bawah dan selebihnya di tempat sejuk beku.



“Ini bagi memastikan bayi mendapat susu segar yang masih tinggi nilai antibodinya. Walaupun susu yang sudah dibekukan berkurangan antibodi, khasiatnya jauh lebih baik daripada susu formula,” katanya.

Jelasnya, susu yang disimpan di dalam peti sejuk bawah (peti sejuk dua pintu) tahan selama lima hari. Selepas hari kelima susu haruslah disimpan di tempat penyimpanan sejuk beku kerana mampu bertahan sehingga tiga bulan.

“Malamnya ibu harus mengeluarkan susu beku untuk diletakkan di bahagian bawah kerana susu ini akan dibawa ke rumah pengasuh. Isikan stok susu di dalam beg sejuk beku dan berikan kepada pengasuh untuk disimpan di dalam peti sejuk ketika menghantar bayi. Tiba masa bayi menyusu, susu tadi harus dipanaskan di dalam air suam pada suhu 35 sehingga 45 darjah celsius.

“Sebaiknya ibu membekalkan alat pemanas ke rumah pengasuh kerana cara pemanasan di dapur atau ketuhar akan mematikan antibodi di dalam susu. Susu yang sudah cair haruslah diberi minum satu jam selepas itu manakala susu yang sudah dipanaskan tidak boleh dibekukan semula,” ujarnya.

Nor Farah yang berpengalaman menyusukan ketiga-tiga anaknya, Puteri Sara Azalea, 4, Puteri Syasya Adalea, 2, dan Putera Shafik Adrian secara eksklusif memberitahu, dia mula memerah susu pada hari keempat kelahiran namun ini bergantung kepada hari ke berapa susu matang keluar.

“Ketika awal kelahiran oleh kerana susu masih dalam bentuk kolostrum, ibu hendaklah menyusukan bayi sekerap mungkin. Selepas susu matang keluar, ibu bolehlah memerah susu setiap tiga jam sekali dan berhenti memerah jika bayi lapar dan menyambung semula sesi mengepam susu.

“Saya percaya pada konsep bekalan dan permintaan dan semakin kerap mengosongkan payudara semakin banyak susu dihasilkan,” katanya yang kerap memerah sekitar jam 12 tengah malam sehingga jam 6 pagi kerana hormon prolaktin banyak dihasilkan ketika ini.

Bagi memastikan simpanan susu terpelihara, ibu tidak boleh memberikan susu perahan kepada bayi mereka ketika dalam tempoh berpantang. Stok susu hanyalah untuk kegunaan apabila ibu berpisah sementara dengan bayi saja.

“Ini sangat penting kerana sekiranya simpanan susu digunakan dikhuatiri ibu akan kehabisan stok susu yang akan diberikan kepada anak ketika keluar bekerja,” katanya.

Selain itu, cara menguruskan penyusuan juga sangat penting. Sekiranya ibu meninggalkan stok susu sebanyak 12 auns pada waktu siang, ibu seharusnya membawa pulang sekurang-kurangnya 12 auns atau lebih.

“Oleh sebab itu, ibu tidak boleh meninggalkan waktu memerah. Sekiranya ibu terlalu sibuk dan tidak sempat memerah susu, ibu seharusnya mengganti waktu memerah pada waktu malam supaya tiada stok negatif dan dapat mencukupkan keperluan anak,” katanya.

Nor Farah menerima banyak kes mengenai pengasuh, ibu atau ibu mentua yang meminta stok susu dilebihkan kerana khuatir anak tidak cukup susu. Contohnya, ada bayi yang minum susu 18 sehingga 20 auns pada waktu ibu bekerja sedangkan ibu hanya mampu membawa pulang 15 auns saja sekiranya dia memerah secara konsisten.

“Hal ini pastinya memberikan tekanan kepada ibu kerana dia berasa susunya tidak cukup apatah lagi bagi meneruskan penyusuan eksklusif sehingga dua tahun,” katanya.

Oleh sebab itu, pentingnya ibu memberi penerangan serta latihan berterusan kepada individu yang menjaga bayi mereka seperti pengasuh, pembantu rumah, ibu atau ibu mentua. Beritahu mereka keperluan susu ibu untuk anak daripada usia sebulan sehingga enam bulan adalah sama dan tidak berubah. Malah, selepas umur bayi meningkat enam bulan, keperluan susunya semakin berkurangan kerana bayi sudah belajar makan.

“Ketahuilah, perut bayi yang berusia sebulan sehingga enam bulan adalah sebesar telur puyuh dan dia akan kenyang dengan hanya minum jumlah yang ditinggalkan ibu iaitu 12 hingga 15 auns sepanjang siang dan tidak lebih daripada itu.

“Saya faham, kadang-kadang sukar untuk memberitahu ibu atau pengasuh mengenai hal ini kerana mereka sering berkata bayi tidak cukup susu atau bayi menangis kerana lapar. Sebagai ibu anda harus bijak memberitahu ibu atau pengasuh, susu yang ditinggalkan mencukupi untuk bayi dan anak akan kenyang.

“Mungkin bayi menangis kerana mahukan perhatian, ingin bermain, bosan ditinggalkan seorang diri atau mahu didukung. Oleh itu berikan mainan, anak patung atau kad imbasan kepada bayi supaya mereka tidak menangis.

“Sebagai ibu, anda lebih mengenali ibu atau pengasuh anda dan menggunakan cara terbaik untuk memberi penerangan kepada mereka,” katanya.

Nor Farah juga menerangkan, berpuasa tidak akan memudaratkan ibu yang menyusu dan bayi yang disusukan selagi ibu tidak mengalami dehidrasi.

Ibu menyusu digalakkan minum air yang banyak pada waktu malam (setiap kali terjaga dan selepas menyusu, minum segelas air) dan ketika bersahur (jika boleh, lewatkan sahur) untuk memastikan keperluan cecair dalam badan dipenuhi seterusnya menggantikan air yang hilang ketika menyusu dan berpuasa pada siang hari. Di samping itu, makan makanan berkhasiat seperti kurma dan sayur-sayuran hijau untuk menambah susu.

“Banyakkan makan kurma dan makanan penambah susu seperti sayuran hijau dan bijiran. Ibu hendaklah bersahur dan melewatkan waktu sahur serta menyegerakan berbuka puasa.

“Banyakkan sesi penyusuan atau mengepam susu (jika bayi tidur) terutama pada waktu malam dan sahur untuk meningkatkan penghasilan susu. Cuba makan dan minum sedikit-sedikit tetapi kerap pada waktu malam. Paling penting bertenang, berdoa dan bertawakal kepada Allah kerana Dia yang memberikan segalanya,” jelasnya.


Tanda dehidrasi:
  • Berasa hendak pitam terutama selepas menyusukan bayi atau memerah susu 

  • Sakit kepala dan rasa ingin demam 

  • Air kencing menjadi pekat dan berbau kuat 

  • Terasa loya, menggigil dan ingin muntah 

  • Berasa lemah dan sakit otot 

  • Mudah marah dan emosi tidak stabil

    Untuk mengelakkan dehidrasi yang teruk, amat penting bagi ibu mengambil makanan mengandungi jumlah cecair yang banyak. Bagi ibu yang menyusu, sekurang-kurangnya dua liter air sehari bagi menjaga keseimbangan bendalir badan.

    Namun, minum air yang banyak bukan bermakna akan menghasilkan susu yang banyak. Ia sekadar menggantikan keperluan air yang hilang ketika berpuasa.


  • sumber : 
    http://www.hmetro.com.my/articles/Tulislabelberdasarnamaanak_tarikhsimpan/Article

    credit to : Akma81.blogspot.com



    1 comment:

    Apa Komen anda?

    Related Posts with Thumbnails